Wednesday, March 7, 2012

Tokoh Muzik Edwin Gordon



PENGENALAN

Edwin E. Gordon seorang tokoh yang dikenali di seluruh dunia sebagai seorang penyelidik , penulis , editor dan pensyarah dalam bidang pendidikan muzik . Sejak tahun 1997 , beliau telah menjadi seorang profesor yang terkenal di University Of South Carolina .
Edwin Gordon  telah berjaya menghasilkan beberapa ujian muzik seperti Music Aptitude Profile dan Primary Measures Of Music Audiation untuk menentukan tahap kebolehan muzik yang sedia ada pada diri seseorang .
Selain itu , Dr. Gordon telah memberikan penekanan terhadap pendidikan muzik kepada kanak – kanak prasekolah dalam jangka masa yang lama . Beliau merupakan salah seorang penulis yang amat disegani kerana kebolehan beliau dalam ujian muzik serta mengarang beberapa buah buku , artikel dan monograf penyelidikan .
Akan tetapi , sebelum beliau melibatkan diri secara serius dalam bidang penyelidikan psikologi muzik , beliau terlebih dahulu memperoleh ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam persembahan bass di Sekolah Muzik Eastman . Selepas beliau berjaya memperolehi ijazah sarjana dan ijazah sarjana , beliau telah menyertai kumpulan muzik Gene Krupa dan bermain bass string  sebelum beliau melanjutkan pelajaran Ph.D. di University of Lowa pada tahun 1958 .
Edwin Gordon yang pernah bertugas di Temple University di Amerika Syarikat adalah merupakan seorang ahli psikologi yang terkenal di Amerika Syarikat . Beliau telah banyak menjalankan penyelidikan tentang potensi yang sedia ada pada seseorang individu untuk mempelajari muzik . Beliau telah melakukan penyelidikan awal semasa beliau mengetuai program muzik di The School Of Music , Universiti Lowa , Amerika Syarikat.
Edwin telah menggunakan pendekatan yang berasaskan kepada hasil sesuatu penyelidikan dalam jangka masa yang panjang mengenai kandungan muzik dan turutan pembelajaran pada peringkat sekolah rendah . Pendekatan yang telah diperkenalkan oleh Gordon ini bercorak lebih formal berbanding dengan pendekatan yang digunakan oleh Dalcroze, Orff, Suzuki, atau Kodaly yang lebih berdasarkan falsafah masing-masing .

TEORI PEMBELAJARAN MUZIK

Teori pembelajaran muzik adalah suatu pembelajaran yang melibatkan cara kita belajar ketika belajar muzik. Di dalam teori Edwin ini lebih memberi penekanan pembelajaran secara berperingkat-peringkat. Teori ini digunakan melalui lapan peringkat kemahiran muzik dalam dua kategori asas iaitu diskriminasi dan inferens.
Dalam kategori diskriminasi, murid akan mempersembahkan satu tugasan muzik yang sama contohnya dengan apa yang ditunjukkan oleh guru. Proses ini dijalankan melalui lima kemahiran iaitu yang pertama ialah oral / aural. Oral atau aural melibatkan kanak-kanak belajar untuk mendengar dan melihat corak bunyi muzik yang dinyanyikan guru dengan suku kata yang mudah. Seterusnya ialah kesatuan lisan yang dapat dilihat melalui nyanyian guru dengan suku kata yang ada corak irama yang sama dengan peringkat oral. Selepas murid mendengar nyanyian guru, mereka akan mengikut dan menyanyikan semula corak irama tersebut dalam tindak balas echo. Di dalam kemahiran sebahagian sintesis, corak bunyi dan irama muzik yang hampir sama akan dikumpulkan di dalam setiap irama. Kemahiran seterusnya ialah kesatuan simbol yang melibatkan guru menunjukkan kepada murid tentang corak bunyi yang hampir sama dalam notasi berirama. Pada kemahiran yang terakhir dalam kategori ini ialah gabungan sintesis yang  melatih dan mendidik murid untuk faham notasi muzik dalam menyanyikan sesebuah lagu.
Bagi kategori kedua ialah inferens ataupun kesimpulan yang mengandungi corak yang tidak dikenali oleh murid dan akan diperkenalkan dalam kelas pengajaran melalui tiga kemahiran dalam muzik. Kemahiran yang pertama ialah kesimpulan umum yang melibatkan murid untuk membandingkan muzik yang tidak dikenali dengan muzik yang pernah murid pelajari sebelum ini melalui note. Seterusnya kemahiran kedua ialah kreativiti atau improvisasi. Dalam kemahiran ini, murid akan mempersembahkan corak bunyi yang berbeza dari kelas pembelajaran tetapi berkait dengan corak yang dipersembahkan oleh guru. Bagi kemahiran yang terakhir dalam kategori ini iaitu pemahaman teori, murid akan menyoal dan mempertimbangkan mengapa muzik adalah muzik, tetapi aplikasi umum adalah teori muzik.
Selain itu , beliau juga telah memperkenalkan dan memberikan keutamaan kepada prinsip “bunyi sebelum simbol” yang lebih menekankan kepada pembelajaran permainan muzik tanpa notasi dahulu sebelum simbol-simbol muzik diperkenalkan . Bagi Gordon , pembelajaran muzik yang baik akan berlaku jika setiap pelajar dapat menguasai satu kebolehan yang dikenali sebagai ‘audiation’ . Audiation merupakan satu proses mental yang membolehkan seseorang individu “mendengar” muzik dalam akal fikiran tanpa merujuk kepada mana-mana bunyi yang dihasilkan secara fizikal ( getaran bunyi ) .
Dengan ini , punca bunyi dalam audiation adalah daripada akal fikiran sendiri dan bukan daripada faktor persekitaran fizikal . Dalam pendekatan yang diperkenalkan oleh Edwin Gordon , bahan dan strategi  telah diatur secara berperingkat – peringkat mengikut teori – teori pembelajaran kontemporari . Pendekatan ini juga memberikan penekanan kepada aspek kognitif yang boleh membantu pelajar untuk membezakan irama, meter, dan juga tonality atau kualiti nada ( major , minor , dan mode seperti Dorean dan Mixolydian ) selain bernyanyi, bermain alat-alat muzik, membaca notasi muzik, dan menghayati muzik .
Audiation merupakan satu proses kognitif yang melibatkan otak yang membantu untuk memberi maksud tentang pelbagai muzik . Selain itu , audiation juga adalah asas kepada pembelajaran muzik . Ini juga merupakan satu teknik yang mampu memotivasikan pelajar untuk belajar dengan cara mendengar dan memahami apa yang diajar oleh guru .
Di samping itu , dengan menggunakan proses audiation , pelajar dapat meningkatkan kemampuan dan pemahaman serta kepekaan pada melodi , interval , ritma dan irama , tona yang merupakan satu asas pengetahuan kepada pelajar untuk dapat belajar secara kreatif sesuai dengan tujuan yang ingin dicapai .
Dalam proses yang diperkenalkan oleh Gordon ini , pelajar akan diperdengarkan lagu – lagu yang dipasang melalui kaset atau VCD . Melalui cara ini , pelajar mampu mempertingkatkan pemahaman dan kepekaan terhadap melodi interval , ritma dan irama , tona dan rasa harmoni .
Dalam teori pembelajaran muzik Edwin Gordon ini, Kandungan Pembelajaran Bersiri juga ada digunakan melalui pembelajaran yang melibatkan tonal dan ritma. Tonal merupakan corak bunyi dalam salah satu bahagian dalam melodi dan irama. Di samping itu, tonal juga adalah perubahan corak bunyi note dalam satu bahagian melodi ataupun irama. Tonal mempunyai dua atau lebih corak bunyi dan ianya membantu perkembangan atau perubahan harmonik dalam corak bunyi.
Ritma pula adalah pola irama dalam kelajuan biasa. Ritma mempunyai perubahan kelajuan atau tempo dalam salah satu bahagian melodi samada dua atau lebih bahagian melodi dalam tempoh yang sama ataupun tempoh berbeza.

KEBOLEHAN MUZIK
            Semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini mempunyai kekurangan dan kelebihan masing – masing . Setiap kelebihan yang kita miliki haruslah dimanfaatkan dengan sebaiknya . Teori Pembelajaran Muzik merupakan satu teori yang unik dan berbeza daripada kaedah – kaedah yang lain untuk pengajaran secara langsung bagi mengenalpasti potensi pelajar yang berbeza – beza dalam muzik .
Secara  keseluruhannya , pelajar yang mempunyai kebolehan diajar dengan lebih banyak isi atau kandungan yang menggunakan gaya suara dan irama berbanding pelajar yang lemah manakala pelajar yang berkebolehan tinggi belajar lebih banyak input daripada purata pelajar yang berkebolehan .
Apabila guru mengetahui setiap kemampuan ataupun potensi seseorang pelajar dan melaksanakan proses pengajaran dengan cara yang berbeza – beza , ini lebih memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran yang dilakukan . Perkara ini amat penting bagi menentukan kebolehan pelajar berdasarkan tingkat penguasaan yang berbeza dalam memainkan alat muzik .
Kebolehan muzik seseorang pelajar itu dapat diukur dengan melaksanakan ujian kebolehan muzik yang sah . Dalam ujian kebolehan muzik ini , guru akan membuat penilaian kepada bakat seseorang pelajar dalam pencapaian muzik tersebut bukannya dinilai pada potensi untuk mencapai kebolehan muzik itu . Ujian kebolehan muzik yang dilaksanakan ini dapat membantu guru untuk memenuhi keperluan unik setiap pelajar samada pelajar itu sememangnya mempunyai bakat ataupun tidak . Edwin Gordon telah menyediakan lima jenis ujian kebolehan muzik dan guru boleh membuat pilihan untuk menjalankan ujian tersebut .
Perkembangan kebolehan muzik berlaku sejak bayi lahir lagi yang berlaku secara semula jadi tetapi ianya boleh berubah – ubah hingga kanak – kanak berusia 9 tahun mengikut jenis dan pengalaman muzik yang kanak – kanak itu lalui . Jenis dan pengalaman ini melibatkan faktor persekitaran kanak – kanak itu sendiri contohnya jika kanak – kanak itu sememangnya dilatih bermain piano sejak kecil , dia hanya akan mahir dengan alat muzik piano sahaja . Selepas usia 9 tahun , seseorang individu itu tidak mampu mencapai tahap perkembangan kebolehan muzik.

METODOLOGI
Metodologi adalah salah satu kaedah yang diperkenalkan oleh Gordon dalam kurikulum bagi mencapai objektif dan matlamat secara menyeluruh . Selain itu , kaedah ini merupakan alternatif yang baik untuk memberitahu pelajar apa yang diajar , bila perkara itu diajar ,dan kenapa sesuatu perkara itu diajar kepada mereka .  Teori pembelajaran muzik yang diperkenalkan oleh Edwin Gordon ini merupakan kaedah yang komprehensif kepada guru – guru untuk mereka mengajar kemahiran audiation .

URUTAN
            Kaedah pengajaran secara urutan juga diberi penekanan oleh Edwin dalam konsep beliau . Kaedah pengajaran muzik yang dikategorikan sama ada secara hafalan pertama ataupun nota pertama . Teori pembelajaran muzik mempunyai ciri – ciri persamaan dengan kaedah hafalan pertama yang diperkenalkan oleh tokoh – tokoh seperti Suzuki, Dalcroze, Kodaly dan Orff .
            Melalui kaedah pembelajaran secara urutan , pelajar dapat membina asas yang kukuh pada kemahiran awal dan persembahan melalui nyanyian , pergerakan berirama , dan corak yang menggunakan gaya suara dan irama sebelum mereka diperkenalkan kepada notasi dan teori muzik . Ini adalah kerana , dalam proses kanak – kanak belajar bercakap , mereka bermula dengan mendengar . Demikian juga sejak mereka lahir , mereka telah tersedia dikelilingi  dengan bunyi bahasa . Bayi akan menyerap bunyi dan akan terbiasa dengan bahasa yang sering mereka dengar . Selepas itu , kanak – kanak akan meniru dan mula menerima pujian dan mereka digalakkan membuat “babble” walaupun apa yang mereka tuturkan tidak dapat difahami oleh golongan dewasa .
            Kanak – kanak mula membentuk frasa dan ayat-ayat disusun dengan cara mereka sendiri dan ini membolehkan mereka melibatkan diri dalam komunikasi ataupun perbualan antara satu sama lain . Apabila kanak – kanak dapat berkomunikasi, langkah seterusnya mereka akan diajar untuk membaca dan menulis .  Jika diperhatikan dengan teliti, teori pembelajaran muzik mempunyai persamaan dengan pembelajaran bahasa . Pelajar diajar menggunakan teori pembelajaran muzik dengan belajar membaca notasi, tetapi mereka hanya akan diajar apabila mereka mempunyai keupayaan untuk audiate atau memahami corak nota yang ditulis .

 KESIMPULAN
            Secara kesimpulannya, teori yang diperkenalkan oleh tokoh Edwin Gordon sedikit berlainan daripada tokoh muzik yang lain kerana ianya lebih formal dan lebih kepada pengajaran dan cara murid belajar ketika belajar muzik. Di samping itu, dalam teori ini murid akan belajar secara berperingkat – peringkat dan ianya memudahkan murid untuk lebih faham dan dapat mengikuti apa yang diajar oleh guru. Selain daripada itu, Edwin Gordon lebih menekankan dan mengutamakan konsep sound before symbol  dan pembelajaran permainan muzik tanpa notasi terlebih dahulu. Murid akan diajar bermain muzik tanpa diajar notasi yang bermaksud simbol bertulis yang mewakili pic, jangka masa dan susunan berirama nada muzik. Selepas murid dapat bermain muzik dengan baik, barulah murid akan diajar dalam pembelajaran teori simbol muzik.







No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...