Wednesday, August 15, 2012

KEPENTINGAN AKTIVITI DAN KREATIVITI DALAM PERKEMBANGAN KANAK – KANAK


Aktiviti estetika dan kretiviti sememangnya memberi peranan yang penting dalam perkembangan kanak – kanak . Ini kerana aktiviti ini memberi peluang untuk kanak - kanak menyampaikan perasaan , kerja dan keupayaan mereka dalam pelbagai cara . Malah aktiviti ini menggalakkan mereka untuk berfikir . Misalnya , selepas melukis kanak - kanak merancang untuk mempamerkan hasil kerja mereka , mereka belajar untuk membuat keputusan terutamanya dalam memilih lukisan mana yang harus mereka pamerkan , bagaimana ia diuruskan dan adakah mereka berpuas hati dengan hasil kerja mereka .

            Isernberg ( 2001 ) menyatakan seni adalah satu sistem simbol yang boleh digunakan untuk menjana makna dan alat untuk pembelajaran . Ini kerana aktiviti seni menyediakan ruang untuk kanak - kanak mengeluarkan dan melahirkan perasaan , cara berkomunikasi dengan dan tanpa bahasa , serta membantu kanak - kanak untuk membantu kanak - kanak untuk meneroka pengetahuan akademik mereka .

Kreativiti dan estetika terbahagi kepada lima bahagian iaitu :

*    LUKISAN DAN KRAF

Objektif Atau Hasil Pembelajaran

Menghasilkan lukisan dan kraf tangan :

Berdasarkan objektif ini , kanak - kanak diberi peluang membuat pelbagai kesan , corak dan garisan pada sesuatu permukaan . Tujuan supaya mereka mampu memahirkan motor halus mereka . Kanak - kanak juga boleh mengetahui warna dan membezakan warna apabila terlibat dengan pelbagai aktiviti mewarna . Selain membantu mereka mencurahkan idea ke saluran yang tertentu , mereka boleh mencurahkan perasaan mereka dalam bentuk lukisan dan sebagainya . Beberapa hasil pembelajaran yang ingin di capai adalah untuk :
  • Membuat tanda dan kesan pada pelbagai permukaan .
  • Membuat garisan dan rupa bentuk .
  • Melukis warna dan mewarna dalam ruang tertentu .
  • Mengenal dan membezakan warna .
  • Menyatakan idea dan menceritakannya .
  • Menggunakan pelbagai bahan secara kreatif dalam rekaan pelbagai kraf untuk pembentukan , binaan , ukiran , guntingan dan lipatan , tampalan ataupun kolaj .
Bagi mencapai semua matlamat yang diinginkan di atas , maka beberapa aktiviti boleh dijalankan . Contohnya :
  • Membuat lukisan percikan bunga api .
  • Mengecap, melukis dan mewarna .
  • Melukis secara bebas contohnya melukis gambar keluarga , diri dan benda - benda yang dilihat di sekeliling .
  • Menguli doh untuk mereka bentuk arca , membina blok membentuk bangunan tertentu , membuat lipatan burung , kipas , sampan dan lain - lain lagi .
  • Membuat kolaj daripada pelbagai bahan seperti kain , daun , bunga , kertas , bijirin , kekacang , polisterin dan sebagainya . Aktiviti ini boleh dilanjutkan , misalnya kolaj daun yang telah ditampal , boleh dilabelkan mengikut saiz .

*     BAHAN WARISAN DAN BUDAYA

Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan budaya, komponen ini sangat perlu dititikberatkan dalam pengajaran dan pembelajaran kanak – kanak . Memahami budaya boleh menanamkan semangat cintakan warisan dan akan tertanam di dalam jiwa kanak -kanak untuk memelihara warisan tersebut untuk kegunaan mereka juga generasi akan datang . Kandungan pengajaran waraisan budaya merangkumi :
  • Menyambut perayaan masyarakat Malaysia .
  • Mengenali pakaian tradisional masyarakat Malaysia .
  • Menghayati lagu dan muzik tradisional .
  • Mengenali Permainan tradisional .
  • Menyatakan idea dan menceritakannya .
  • Mengenali kraf dan peralatan tradisional .
Objektif warisan budaya adalah untuk mengenalkan kanak – kanak kepada masyarakat Malaysia disamping memahami budaya dan kepercayaan mereka . Tujuan mengenali pelbagai masyarakat yang terdapat di Malaysia adalah untuk mewujudkan sifat faham memahami antara kaum . Dengan ini , maka rasa percaya dan hormat menghormati akan wujud di Malaysia . Misalnya , dengan tarian tradisional seperti zapin , tarian singa dan tarian hindu sesuatu kaum . Beberapa cara boleh dijalankan untuk membantu pengajaran dan pembelajaran warisan budaya , antaranya :
  • Memakai pakaian tradisi ketika perayaan tertentu .
  • Sediakan suatu sudut tema yang kreatif dengan mempamerkan pakaian , alatan atau gambar - gambar yang menunjukkan sesuatu perayaan .
  • Bermain permainan tradisional seperti galah panjang , congkak , teng – teng , batu seremban ,dan lain – lain lagi .
  • Mengumpul gambar – gambar yang berkait rapat dengan alat muzik tradisional dan membuat buku skrap .
  • Membuat lawatan ke muzium dan pusat kraf tangan
  • Mengadakan sesi muzik yang menggunakan alatan muzik tradisional .

*      PERSEKITARAN DAN KEINDAHAN ALAM

Komponen ini diambil kira bersama kerana keindahan alam sekitar sememangnya memberi idea yang cukup banyak untuk seseorang berkarya , bukan sahaja kepada orang dewasa malah kepada kanak – kanak .
KANDUNGAN KOMPONEN PERSEKITARAN DAN KEINDAHAN ALAM

Kandungan bagi komponen ini adalah :

1)      Mengenal dan mengecam keadaan alam dengan menggunakan deria .

Kanak-kanak boleh mengenal dan mengecam keadaan alam sekitar dengan menggunakan deria menggunakan deria . Misalnya dengan melihat sendiri warna dan bentuk di persekitaran , mereka mendapat pengalaman pertama tentang keindahan semula jadi .

2)      Menunjukkan rasa ingin tahu mengenai perubahan yang sentiasa berlaku di persekitaran .

Misalnya mereka boleh nampak daun muda berwarna hijau , kemudian layu menjadi warna kuning dan akhirnya mati menjadi warna coklat .

3)      Menyatakan perasaan diri terhadap unsur – unsur keindahan alam secara lisan dan perlakuan .

Kanak - kanak boleh menggambarkan kegembiraan mereka merasai pengalaman dengan persekitaran dengan menceritakan semula apa yang mereka peroleh daripada persekitaran . Mereka boleh  menyanyi lagu - lagu tertentu seperti lagu lagu " Tanya sama pokok ".

4)      Bercerita tentang pelbagai kegunaan alam sekitar .

Penerokaan alam sekitar tidak terhenti dengan melihat alam sekeliling sahaja , tetapi lebih bermakna sekiranya kanak - kanak diberi peluang pula untuk menceritakan pengetahuan mereka bersama rakan - rakan dan orang dewasa . Ini penting bagi menggalakkan kemahiran berbahasa  mereka . Malah bercerita boleh memupuk rasa yakin dalam diri kanak – kanak .

5)      Menyatakan mengapa harus bersyukur kepada Tuhan .

Rasa bersyukur kepada Tuhan boleh dipupuk ke dalam jiwa kanak - kanak dengan meneroka alam sekitar mereka . Kanak - kanak digalakkan berfikir dengan melihat alam semula jadi dan mereka perlu diberitahu setiap sesuatu yang ada di sekeliling mereka pada Pencipta.

6)      Mewujudkan keceriaan dan keindahan alam sekitar .

Ini menggalakkan mereka untuk menghargai alam sekeliling mereka . Oleh itu , secara tidak langsung kanak – kanak akan berinisiatif untuk menjaga kebersihan alam sekeliling mereka . Beberapa aktiviti yang boleh digalakkan adalah seperti gotong – royong .


*    DRAMA DAN PUISI

Alam kanak – kanak penuh dengan imaginasi , mereka suka meniru dan melakonkan semula watak – watak yang mereka perhatikan disekitar mereka . Lakonan juga mampu menggalakkan mereka berkomunikasi dan belajar bermain peranan . Antara aktiviti yang boleh dijalankan untuk aspek ini adalah seperti bermain boneka , bermain masak – masak , melakonkan watak binatang , contohnya dalam lagu “ Bangau Oh Bangau ” , menyampaikan pantun , menyampaikan puisi dan sebagainya .

MENGAMBIL BAHAGIAN DALAM MAIN PERANAN MENGIKUT IMAGINASI .

Sememangnya sifat semula jadi kanak – kanak suka bermain dan suka terlibat dengan aktiviti yang menyeronokkan . Oleh itu , aktiviti yang melibatkan kanak – kanak boleh bermain peranan adalah sangat digalakkan kepada mereka .
Proses ini  penting kerana ia melibatkan pemikiran . Kanak - kanak juga belajar dengan meniru jadi wujudnya aktiviti main peranan membolehkan mereka memahami funsi dan peranan individu sekitar mereka seperti peranan  ayah , ibu , adik , abang dan lain - lain yang disignifikan dalam hidup mereka .

MELAHIRKAN PERASAAN MELALUI LAKONAN DRAMA DAN BACAAN PUISI

Melalui  drama kanak - kanak  bebas untuk melahirkan perasaan mereka . Melakonkan cerita tertentu membantu  mereka memahami cerita yang ingin disampaikan dengan lebih mudah , kerana mengalami sendiri pengalaman tersebut . Selain itu , kanak - kanak merasa mereka di beri kepercayaan untuk menjalankan tugas yang diberikan kepada mereka . Ini memupuk rasa tanggungjawab dan penghargaan kendiri kanak – kanak .
Kanak - kanak mudah belajar apabila mereka dapat mendengar perkataan yang mempunyai bunyi yang sama , malah mereka  seronok  pula mengulang - ulang sesuatu perkataan tersebut . Jadi puisi dan  pantun merupakan rangkap - rangkap ayat yang mudah untuk dibaca .

MENUNJUKKAN SEMANGAT KERJASAMA DALAM PERSEDIAAN DAN PERSEMBAHAN

Aktiviti drama selalunya melibatkan pelbagai tahap . Pemilihan pelakon , penghafalan dialog , memilih kostum yang bersesuaian , menyediakan pentas , mengadakan latihan dan sebagainya untuk memberi peluang kepada guru dan kanak – kanak bekerjasama .
Ia juga boleh boleh menggalakkan komunikasi sosial antara kanak – kanak . Kanak - kanak juga bangga sekiranya mereka dapat menunjukkan bakat mereka kepada ibu bapa mereka . Ini menanam semangat berani mencuba dan yakin diri .

MEMBUAT GERAK BADAN BERDASARKAN MUZIK YANG ADA KAITAN DENGAN CERITA YANG DIDENGAR

Melalui cara ini kanak - kanak berpeluang menikmati cerita dan mereka boleh beraksi mengikut kreativiti mereka sendiri .

*      MUZIK , NYANYIAN DAN PERGERAKAN

Kanak-kanak mudah  mengingati sesuatu dengan nyanyian kerana nyanyian mempunyai rentak tertentu yang mudah , menarik perhatian kanak – kanak . Kanak - kanak juga tidak betah duduk lama , jadi melalui komponen ini , kanak -kanak berpeluang untuk menyampaikan perasaan dengan menyanyi lagu - lagu kanak - kanak yang mudah seperti lagu " Rama-Rama ", bermain alat muzik seperti gendang , recorder , kompang , membuat pergerakan kreatif seperti menari , menyanyi sambil beraksi .  


1 comment:

Anonymous said...

Terbaek. Thanks for info. Tp kekdg xde idea. Idea x dtg. Mybe sbb x kreatif or inovatif kot. Hehe. Penat perah otakkkk. :(

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...